Siddiq Fadzil

Kolej Dar al-Hikmah

"Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan  sebenarnya.       Sesungguhnya    mereka   itu  adalah pemuda-pemuda  yang beriman kepada Tuhan mereka    dan    Kami    tambahkan    kepada    mereka  petunjuk.

 

Dan Kami  telah   meneguhkan   hati   mereka  ketika  mereka  berdiri  lalu  mereka berkata,    “Tuhan kami adalah Tuhan  langit  dan   bumi; kami sekali-kali  tidak   menyeru    Tuhan selain Dia.  Sesungguhnya kami  kalau  demikian telah mengucapkan perkataan  yang amat jauh dari kebenaran.

 

Kaum kami telah menjadikan selain Dia tuhan-tuhan (untuk  disembah).           Mengapa   mereka       tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?)    Siapakah yang lebih zalim daripadaorang-orang   yang mengada-adakan      kebohongan  terhadap Allah?"


                                                     Al-Kahf:13-15

                
Pemuda Kahfi adalah sekumpulan pelaku sejarah yang mengabadikan keunggulan iman,  kecerdasan akal, keberanian bersikap dan bertindak   Mereka     bangkit   melepaskan diri daripada belenggu  budaya dan tradisi pembodohan:  penguatkuasaan dan pemaksaan  amalan menyembah  berhala,    budaya  warisan  yang dipertahankan dengan setia tanpa dipersoalkan  rasionalitinya,  tanpa dipertanyakan kerelevanannya.

 

·        Fitrah insani  yang masih dimiliki  tujuh pemuda Kahfi itu  tidak dapat menerima  agama dan budaya yang tidak serasi dengan kesejatian sifat keinsanan yang memang tercipta dalam acuan tauhidik   -    kecenderungan fitri kepada penyembahan Tuhan Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna.

 

·        Akal sihat  pemuda Kahfi  tidak dapat menerima faham yang tidak rasional.    Kemampuan  dan keberanian berfikir kritis-evaluatif telah menghasilkan  keberanian  bersikap   -   menolak kesesatan yang telah begitu lama membudaya dan mencari alternatif yang benar dan meyakinkan.

 

·        Ketulusan mencari kebenaran  mendapat  perhatian dari langit.   Pemuda Kahfi mengalami pencerahan hidayah,  lalu menemukan  hakikat tauhid,  Tuhan yang hakiki hanyalah Allah,   satu-satunya Pencipta, Pemilik dan Penguasa langit dan bumi seisinya.  

 

·        Kebenaran adalah kurnia istimewa yang paling berharga dan membanggakan.  Pemuda Kahfi membuat deklarasi tauhid,   suatu keberanian yang tercetus dari kekentalan iman dan kebanggaan memilikinya.    Motifnya bukan sekadar ingin membuat kejutan atau bangga dengan sikap berani berbeza,  tetapi secara tidak langsung  menyedarkan masyarakat agar berfikir,   mengaktifkan akal sihat yang selama ini  beku terbelenggu dalam budaya “dikir barat”       -      sebut apa sahaja yang disebut oleh “tukang karut” termasuk segala karut dan carutnya.    Memang deklarasi  tersebut cukup menggemparkan.    Mungkin kejutan seperti itulah yang diperlukan oleh masyarakat  yang telah lama kehilangan daya fikir dan kematian idealisme untuk membangkitkan  akal yang tidur dan menghidupkan  hati yang mati.

 

·        Deklarasi tauhid  pemuda Kahfi  segera dirasakan sebagai gugatan  terhadap  kemapanan dan kestabilan serta ancaman terhadap pihak-pihak yang  berkepentingan.   Raja yang selama ini  ikut di”berhala”kan bertindak memberikan kata dua:  rujuk ke tradisi datuk nenek,  atau  hadapi tindakan brutal pihak penguasa.  

 

·        Berani bersikap, harus berani menghadapi risikonya.  Demikianlah iman  tulen pemuda Kahfi yang mendapat pengakuan dari langit,”…sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk buat mereka.   Pengakuan Ilahi tersebut sekaligus mengungkapkan hakikat  hubungan erat iman dengan petunjuk;   semakin menguatnya iman, semakin  bertambah  kebenaran yang menyerlah,  termasuk petunjuk Ilahi tentang bagaimana mengurus diri di tengah kemelut pertentangan yang mereka alami. 

 

·        Demi  iman dan kebenaran,   pemuda Kahfi bersumpah setia  mempertahankan pendirian tauhidik dan berusaha menghindari  tindakan teror  penguasa  dengan bersembunyi di gua.   Mereka menghilangkan diri,  tetapi  deklarasi tauhid  mereka tidak ikut menghilang.   Deklarasi keramat itu  tinggal di tengah umat sebagai benih kesedaran.

 

·        Di tengah ribut memburu dan mengesan jejak pemuda Kahfi,  mereka damai  dalam limpahan rahmat Allah.   Gua gelita yang sempit dan kasar     -    berkat taburan rahmat    -    terasa bagaikan kamar nyaman sehingga mereka tertidur nyenyak selama tempoh yang cukup lama.      Sementara itu masyarakat telah berubah.  Benih iman dan akal rasional yang mereka tinggalkan telah hidup subur dan tersebar luas meliputi  seluruh strata:  raja dan massa.  Ketika itulah mereka sedar,  lalu menyaksikan perubahan dan merasakan penghormatan  umat  generasi baru yang tahu menilai kebenaran, kerasionalan  dan keberanian  bersikap benar.

 SAYANGI KPIJ

*Nota kuliah tafsir maudhui 29 mac 2008

 
 

Sedang saya mengembara dan berkelana sendirian di lautan maklumat maya yang bergelora atau dalam bahasa penjajahnya; 'internet' saya menemui sebuah petikan ucapan yang menarik untuk kita renungi bersama:-

"Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.

Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. The degrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life.

I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses."

Ucapan di atas adalah titipan bicara Sayyid Abul 'Ala Maududi (1903-1979) kepada kaum mahasiswa yang melihat universiti sebagai 'rumah penyembelihan' yang mencetak segulung 'sijil kematian'. Berikut adalah terjemahannya dalam bahasa Melayu:-

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Tamat petikan ucapan Abul 'Ala al-Maududi.

Sama ada kita mahu bersetuju atau tidak, hal itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Tetapi, jika diteliti dengan rinci terasa ada kebenaran dalam ucapan tersebut. Sebenarnya, apa peranan tertinggi kaum pelajar? Apa hubungan pelajar dengan masyarakat dan rakyatnya? Apa tujuan universiti ditubuhkan dan apa kaitan kena-mengenanya kaum kapitalis dengan universiti?

Mari kita tinggalkan dahulu soalan ini kepada sesiapa yang suka menjawabnya ?

Universiti bagaikan 'rumah penyembelihan'?

Kembali kepada ucapan al-Maududi. Meneliti ucapannya, kita melihat sepertinya beliau sudah tidak lagi mempercayai universiti. Mungkin universiti itu di luar negeri atau di Pakistan. Beliau tidak mengupas dengan lebih rinci. Oleh itu, mari kita anggap semua universiti sama saja sifatnya; 'rumah penyembelihan'. Dan pelajar itulah yang akan disembelih. Penyembelih, mungkin TNC HEP atau Kementerian Pengajian Tinggi.

Tapi jangan lupa. Al-Maududi mungkin telah hilang kepercayaan ke atas universiti sebagai 'rumah penyembelihan'. Tetapi beliau masih menaruh harapan tinggi ke atas mahasiswa-mahasiswa yang diucapkannya sebagai:-

"Alangkah bertuahnya kepada mereka (mahasiswa) yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan."

Lalu, al-Maududi menyifatkan dirinya sebagai:-

Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Secara ringkasnya kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa al-Maududi mungkin hilang rasa percaya ke atas sistem pendidikan universiti, tetapi masih menaruh harapan tinggi ke atas para mahasiswa universiti. Sebab itulah beliau menafsirkan dirinya sebagai seorang pencari 'manusia (mahasiswa) yang masih hidup dalam timbunan mayat' di rumah penyembelihan yang bernama universiti.

Tapi, tidak diketahui apakah punca al-Maududi berkata demikian. Mungkin, beliau telah dihalau daripada memberi ceramah di universiti seperti UKM membatalkan ceramah mengenai Palestin kerana panel jemputannya dikatakan tidak serasi dengan pihak atasan UKM pada tahun lalu.

Atau, beliau mungkin kecewa ke atas sejenis sistem berhutang yang dikenakan terhadap pelajar yang belajar di universiti yang mana kadar faedahnya (riba) membebankan pelajar sehinggakan hal itu diibaratkan beliau sebagai tindakan menyembelih pelajar laksana PTPTN menyembelih mangsanya?

Ini semua adalah teka-teki yang belum dapat dirungkai dan menjadi sebuah misteri yang belum terungkap dengan jelas kebenarannya. Khaled Nordin belum tentu dapat jelaskan hal ini kerana beliau masih baru menjawat jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Sepatutnya, Khaled membawa isu ini dibincang di UTM ketika beliau membawa lambang Umno, BN di UTM sebelum pilihan raya lalu kalau beliau tahu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi akan melantiknya kepada jawatan berkenaan sebagai suatu langkah persediaan.

Ini kerana, pelajar yang sedar dan yang enggan disembelih telah pun muak, loya serta melugai dengan kenyataan terbaru Kementerian Pengajian Tinggi berhubung cadangan pindaan Auku. Ini sudah pasti akan melibatkan pindaan mengikut suka hatinya, pelajar dan pensyarah yang rela hidung mereka dicucuk hari ini untuk disembelih pada keesokan harinya.

Mahasiswa dan pensyarah yang tidak rela hidung mereka dicucuk untuk disembelih sudah pun menghidu bahawa pindaan Auku 1971 ini tidak bertujuan memansuhkan artikel 15 (1), (2), (3) dan lainnya yang memberi kebebasan kepada warga kampus berpolitik dan menjalankan kegiatan akademik yang ada kaitannya dengan politik negara.

Jadi, mana mungkin Khaled akan terfikir kedudukan universiti sebagai 'rumah penyembelihan' sebagai yang dilontarkan al-Maududi pada awal-awal perbincangan tadi.

Kepada golongan pakcik makcik kita yang pernah mengikuti silibus atau kurikulum usrah-usrah sejak 1970-an dahulu tentunya terdedah dengan kupasan al-Maududi dan Hasan al-Banna di dalam usrah mereka. Dalam erti kata lain, pemikiran al-Maududi dan al-Banna adalah seangkatan zaman.

Suatu masa dahulu saya pernah menulis sedikit di ruangan ini tentang betapa tingginya harapan al-Banna terhadap golongan mahasiswa sehingga beliau membuat suatu muktamar rapat umum khas untuk menyampaikan wasiat kepada golongan pelajar. Maka, demikian dengan al-Maududi. Harapannya menggunung. Cuma, penyampaiannya sedikit berbeza bercampur nada kecewa.

Hubungan pelajar dan rakyat amat erat

Makcik Hamsiah, 53, seorang suri rumah dari Kelang melihat golongan tua yang baru pulang dari Mekah kerana menunaikan fardhu haji boleh dianggap sebagai graduan dari 'universiti' Allah.

"Sepatutnya, datuk nenek yang sudah mendapat 'ijazah' kerana menunaikan haji di Mekah ini akan kembali ke pangkuan keluarga dan menasihatkan cucu-cicit dan anak-anak mereka supaya jangan terpengaruh dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

"Tapi, realiti yang terjadi kini sudah berbeza. Mereka kembali dan cuma menjamu para tetamu dengan kurma dan air zam zam. Mereka seolah-olah terlupakan urusan dakwah kepada keluarga masing-masing," kata makcik itu kepada saya dulu.

Saban tahun, kita mendengar dan melihat paparan kisah pelajar sekolah rendah dan menengah yang mendapat keputusan terbaik dalam UPSR, SPM dan STPM. Di universiti, kita akan melihat hal yang sama berlaku. Tapi, dengan ilmu mereka, apakah masyarakat berubah menjadi baik?

Inilah madrasah tarbiyyah peninggalan Rasulullah s.a.w yang diwarisi al-Banna dan al-Maududi. Misalkan Gua Hira' adalah 'universiti' terpencil tempat baginda berkhalwat dan bersuluk hingga didatangi mahaguru Jibril a.s yang menyampaikan wahyu pertama.

Sesudah itu baginda turun daripada gua untuk menyebarkan dakwah dan risalah kebenaran. Dan kaedah inilah yang cuba diterapkan oleh al-Banna di mana usrah menjadi tempat berhimpunnya para sahabat untuk mengkaji al-Qur'an untuk disebar kepada keluarga dan masyarakat sekitar.

Usrah itu medan akliah, lapangan akademik yang bertenaga memancarkan sinar pencerahan ke atas masyarakat sekitar. Sememangnya, begitulah cara sinar-sinar kebenaran itu terhimpun dan terkumpul di suatu tempat, lalu limpahan sinar itu tercurah ke lembah gelap yang lain pula.

Sudah berapa banyak sekolah didirikan? Sudah berapa banyak 'universiti dhirar' dibina? Tapi, ada berapa banyak kes jenayah diselesaikan? Musa Hassan datang berceramah tentang jenayah di USM pun cuma untuk menyindir Kelantan banyak jenayah, apa kes? Patutlah jenayah makin teruk menjadi-jadi. Dua SB dihantar untuk merakam (menyembelih?) ucapan NC USM, apa kes?

Tepatlah, universiti sekarang sudah berubah menjadi 'rumah penyembelihan'. Sekolah-sekolah, universiti-universiti tidak lagi berperanan sebagai Gua Hira' tempat Nabi Muhammad bertemu mahagurunya; Jibril a.s dan tidak seperti Buddha menerima pencerahan di bawah pokok Bodhi.

Tidak ramai pelajar bertindak sebagai nabi-nabi

Sudah tidak ramai lagi kaum terpelajar yang bersikap bagai nabi-nabi, rasul-rasul dan wali-wali yang menyendiri, bersuluk, berkhalwat di sebuah tempat yang sunyi. Dan, akhirnya setelah dia mencapai pencerahan atau menerima wahyu daripada 'universiti', mereka keluar menyebarkan risalah agama. Selepas berijazah, mereka mencari kerja dan bernikah. Itu saja.

Alangkah mulia dan keramatnya seorang kanak-kanak tadika, Pasti dan Taski yang belajar doa makan dan minum daripada ustazahnya. Dan, apabila makan minum bersama keluarga, anak itu akan menegur ayah dan ibunya: "Kenapa abi dan umi tidak baca doa dulu sebelum makan?"

Jikalau al-Maududi masih hidup, tentu beliau berkata lebih kurang begini: "Yang belum menjadi 'rumah penyembelihan', hanya tadika, Pasti dan Taski dan kindergarten sahaja."

Dalam tradisi pendidikan Islam warisan Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, antara peranan ilmu ialah mendidik jiwa agar lunak dan patuh kepada Allah. Tetapi, menurut al-Ghazali, dalam proses didikan itu, apabila sampai waktunya, guru perlu meninggalkan sang murid kerana hati murid itu sudah tidak dapat lagi dirawat.

Dalam suasana masyarakat hari ini, mahasiswa, rakyat atau golongan bawahan kita masih lagi boleh dirawat kerana dalam hati mereka sentiasa ada sikap merendah diri dan ingin bertaubat apabila dirundung masalah. Kita hanya berdepan dengan masalah orang atasan. Buktinya, walaupun kalah dalam pilihan raya, mereka masih belum berubah dan angkuh mempertahankan kuasa sehingga sanggup menderhaka kepada sultan. Mereka ini tidak boleh dirawat lagi.

Bak kata Fansuri, "Melentur buluh biar daripada rebungnya. Nanti apabila jadi buluh, dia boleh berkata kepada musuhnya, sekarang bertemulah buku dengan ruas. Atau, bolehlah dibuat rakit untuk berkelana dan mengembara mencari pengetahuan. Tapi, kalau buluh itu tidak kuat juga, barulah 'disembelih' untuk diisikan pulut dibuat lemang pada akhirnya."

6:13 pagi, 26 Mac 2008
Sekolah Pemikiran Kg Baru.


This is your new blog post. Click here and start typing, or drag in elements from the top bar.

 
ADAB BERJEMAAH 01/12/2008
 

MUQADDIMAH

Ia bermula daripada ikrar syahadah dan menunaikan tuntutannya dalam diri setiap individu, rumahtangga, bermasyarakat sehinggalah perkara yang tidak dilakukan oleh jamaah-jamaah lain secara tegas, iaitu menegakkan negara Islam.

Maka dengan itu, ia telah membezakan kita dengan parti-parti, jamaah-jamaah dan kumpulan-kumpulan lain termasuklah yang bernama Islam.

Prinsip ini menyebabkan kita menghadapi cabaran lebih banyak dan hebat, namun kita terus maju dan berkembang. Walaupun demikian, kita perlu memenuhi tuntutan-tuntutan yang berkait dengan setiap ahli di semua peringkat demi mencapai kemenangan yang dijanji kurnia oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa dia akan menjadikan mereka itu khalifah (orang yang memerintah dengan Islam) di atas bumi sebagaimana dia pernah mengurniakan khilafah kepada orang -orang yang terdahulu daripada mereka. Dia akan menjadikan agama mereka (Islam) yang Dia redha memerintah untuk mereka dan Dia akan menukarkan kepada mereka suatu keadaan selepas berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka itu menyembahKu, tidak menyekutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang menjadi kufur selepas itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Al-Nur: 55)

Perlu difahami juga bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar yng benar tanpa membina peribadi dengan akhlak-akhlak berparti atau berjamaah.

Oleh itu, maka saya kemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk menjadi perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berparti

Dalam meniti liku-liku perjuangan Islam, ianya penuh dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang begitu mendesak. Justeru, pada diri seseorang pejuang Islam itu perlu dihiasi dengan keindahan Islam dan diwarnai dengan akhlak berjamaah agar sepanjang merentasi ujian ini sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t.

Ini amat penting agar pertolongan Allah sentiasa bersama para pejuang. Bagi meletakkan perjuangan kita diterima dan direstui oleh Allah s.w.t. serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1.Ikhlas

Mestilah ikhlas yakni mampunyai niat yang benar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan di dalam negara yang melaksanakan hukum syariat.

Maksudnya: “Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. telah menceritakan kepada kami, katanya : seorang arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu dia bertanya : “Orang yang berperang kerana mahukan ghanimah (harta rampasan), orang yang berperang supaya disebut (menjadi masyhur), berperang kerana riak (menunjuk-nunjuk kepada orang), maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah (agama Islam) itu menjadi paling tinggi maka dialah yang berperang pada jalan Allah.” (Muttafaq’Alaih)

Yang dimaksudkan dengannya perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan sama ada melalui cara pilihannya sehinggalah berperang di negeri yang tidak ada cara yang lain daripadanya mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (Al-Baiyinah: 5)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadith. Maksudnya:

“Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung keapda niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seseorang perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila mengikhlaskan niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti ‘ujub dan sum’ah.

Allah s.w.t. telah mengajar generasi awal di kalangan umat Islam dalam beberapa peristiwa di zaman Rasulullah. Di antara peristiwa-peristiwa itu ialah peristiwa uhud dan Hunain yang mejadi iktibar sepanjang zaman.

Dalam kes ini di Uhud, Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusanitu dan menderhakai perintah rasul sesudah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai, di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah mempunyai kurnia atas orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran: 152)

Allah s.w.t. juga telah berfirman berkenaan dengan peristiwa Hunain, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di medan peperangan yang banyak dan pada hari berlaku peperangan Hunain ketika kamu megah dengan diri sendiri kerana ramainya jumlah kamu, mak jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikitpun dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu lari ke belakang bercerai-berai, kemudian Allah menurunkan kemenangan kepada rasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dn Allah mengazabkan orang-orang kafir dandemikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir, kemudian Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendakiNya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al -Taubah: 25 – 27)

2.         Percaya dengan baik kepada Allah (husnu al-thiqah billah), memohon pertolonganNya dan percaya kepada janjiNya.

Seseorang yang menceburkan dirinya dalam perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjiNya di dunia dan akhirat.

Perkara ini hendaklah dinyatakan dengan mengadakan hubungan yang baik dengan Allah dengan sifat taqwa, mengerjakan perintah dan meninggalkan laranganNya, sehingga ia tidak boleh dijelaskan oleh amaran, sogokan dan bagaimana sekalipun keadaan dan sifat-sifat musuh-musuh Islam itu dan sehingga tidak ada di dalam diri perasaan tidak ada harapan untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan cita-cita Islam dan juga perasaan tidak yakin dengan janji Allah s.w.t. di akhirat.

Orang-orang yang berjuang bersama Rasulullah s.a.w. yang melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada suatu wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar dan situasi yang terang-terang menandakan kemenangan Islam,mereka percaya kepada firman Allah,maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah mesti menolong orang yang menolong agamaNya, dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami bolehkan kepada mereka memerintah di bumi mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran da bagi Allah akibat segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Rasulullah tidak menerima Bani Amir kerana mereka meminta jawatan sebelum mencapai kemenangan dan tidak menerima Bani Syaiban kerana mereka takut menghadapi Parsi yang menjadi kuasa besar dunia dn tidak yakin bahawa Islam dapat menumbangkan Parsi dan Rom.

Tetapi sebaliknya berbai’ah dengan aus dan Khazraj yang percaya kepada Allah dan janjiNya di dunia bahawa Islam akan menang dan jnji kebahagiaan di akhirat. Lalu mereka menunaikan perintah Allah dengan patuh dan menhadapi penghalangnya yang datang dari segenap penjuru dan sentiasa menunggu wahyu dan sabda untuk dilaksanakan dan diperjuangkan.

3.Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain dan hanyut bersama arus jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya maksudnya:

“Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orangyang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).” (Yunus: 89)

Firman Allah s.w.t. kepada nabi kita Muhammad s.a.w., maksudnya:

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 112 – 113)

Dalam peristiwa yang lain pula dinyatakan, apabila sufyan bin Abdullah berkata kepada Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Daripada Sufyan bin ‘Abdullah al-Thaqafi katanya: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan kata-kata yang jelas sehingga aku tidak perlu lagi beranyakan mengenainya kepada seseorang yang lain daripadamu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.” (Riwayat Ahmad)

Para rasul dan para sahabat adalah orang-orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah itu sangat penting dan mestilah berterusan kerana ia menjadi tunggak dan cara untuk mendapatkan pertolongan Allah s.w.t., bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya menjadi sia-sia.

4.Taat

Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Al-Nisa’: 59)

Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, ister-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain.

Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbaga-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

5.Ukhuwwah (persaudaraan Islam)

Ahli-ahli parti dan penyokongnya di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain.

Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah s.a.w. menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Sebarang kekosongan yang memutuskan saf nescaya dicelah oleh syaitan yang dapat menjejaskan jentera parti dan perjalanannya.

Kegiatan usrah adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluarga, adapun penekanan ilmu lebih ditumpukan dalam majlisnya sendiri iaitu majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh parti, begitu juga dengan kerja-kerja kebajikan di kalangan ahli-ahli parti yang mewujudkan berlakunya tolong menolong di antara satu sama lain.

Demikian juga sebarang perhimpunan dianjurkan oleh parti dengan meyusun petugas-petugasnya dapat menjalinkan tolong- menolong yang mengeratkan persaudaraan.

6.Kerahsiaan

Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan parti untuk menentangnya, oleh itu kita tidak boleh boros dengan kenyataan yang mendedahkan kerahsiaan, membongkar perkara-perkara dalaman yang tidak patut dibuka kepada umum sehingga mendedahkan kelemahan kepada musuh dan memberi kemudahan kepada mereka untuk memukul dan melumpuhkan parti serta menggagalkan perjalanannya.

Sirah Rasulullah s.a.w. banyak mengajar kita di dalam perkara ini secara praktikal, di mana kemenangan banyak dicapai dengan cara-cara yang mengejutkan musuh dan mereka tidak ada ruang untuk mengambil kesempatan dari beberapa kelemahan yang ada.

Parti bukan sahaja perlu menyusun strategi yang baik dan rapi tetapi juga perkara-perkara yang menjadi suatu kerahsiaan yang tidak boleh diumumkan , adalah tidak wajar semua ahli mengetahui segala yang dirangka oleh kepimpinan termasuklah perkara yang perlu dirahsiakan. Adalah tidak bijaksana sekiranya untuk mengumumkan semua perkara dan ahli-ahli menekan dalam perkara ini sehingga menjejaskan ketaatan dalam melaksanakan tugas parti.

Sebaliknya sebarang rahsia musuh yang dapat dikesan sama ada kecil ataupun besar hendaklah dilaporkan kepada parti.

7.Tidak leka dengan pencapaian yang ada

Seringkali berlaku apabila terdapat sedikit kemajuan atau kemenangan menyebabkan berlakunya kelekaan dalam menjalankan tugas dan memberi sumbangan kepada parti. Allah s.w.t. telah menegur para sahabat r.a. apabila mereka memandang ringan kepada kewajipan jihad setelah mencapai beberapa kemenangan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Seringkali berlaku di negeri atau kawasan yang mencapai kejayaan berlakunya kecuaian walaupun untuk mempertahankan kemenangan itu, sehingga tugas-tugas parti menjadi perkara-perkara sampingan.

8.Menunaikan janji dan beriltizam dengannya

Allah s.w.t. telah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak ( mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl: 91)

Samada perjanjian dengan jamaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh-musuh hendaklah ditunaikan dan disempurnakan dengan baik. Sebarang kemungkinan boleh menghilangkan kepercayaan di antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan.

9.Tidak melampau

Allah s.w.t. melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Al-Baqarah: 190)

Penutup

Demikianlah sebahagian daripada perkara yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan di samping bermuhasabah kepada diri sendiri dan parti supaya perjuangan kita diterima, diredhai Allah dan dikurniakan kemenangan dunia dan akhirat.

 
First Post! 01/12/2008
 
Start blogging by creating a new post. You can edit or delete me by clicking under the comments. You can also customize your sidebar by dragging in elements from the top bar.
 

1